Memaparkan catatan dengan label kisahIbu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kisahIbu. Papar semua catatan

Ahad, 20 Jun 2021

Catatan Pemergian Ibu

Salam,

Sedikit coretan hari-hari akhir pemergian Ibu untuk kenangan.

 

Seminggu di hospital kerana shocked denggi, BP dan platlet darah dah ok, Doktor benarkan Ibu keluar. Ibu pun memang hari-hari cakap nak ‘balik’. Kami harap sangat bila dapat balik, Ibu akan gembira dan sihat semula. Dah di rumah, Ibu tetap lemah. Masih sakit perut dan muntah. Anak manalah yang tak risau bila keadaan Ibu macam tu. 

Ditambah dengan PKP, semuanya jadi sulit dan rumit. Polis siap kata, kalau meninggal dunia baru kami bagi balik 🥺 Nak hantar ke hospital, Ibu tak nak. Time ni terfikir, alangkah bagusnya kalau kami doktor, senang nak rawat semua sakit Ibu. Ajak adik-adik baca yasin. Mohon kesembuhan. Dah habis cara, kita berserah kepada Dia pula. Bacaan Yasin kali ketiga, Ibu dikejarkan ke hospital. Takda siapa yang hantar Ibu ke hospital bu. Kebetulan ada check up pagi tu, BP ibu rendah dan kesihatan Ibu merosot. Doktor minta buat pemeriksaan lanjut lagi. 

14 Jun2021
Haritu Isnin, terima panggilan daripada  makcik. Dia menangis. Dia kata ibu  nampak lain, cakap yang bukan-bukan. Patutnya jd MC majlis farewell bos haritu, so dah ibu begitu, minta cari ganti orang lain je la. Dapat kebenaran balik setelah berdrama di Balai Polis, then terus ke hospital.

Dapat jumpa ibu (jumpa kali terakhir) kat emergency, Ibu cakap nak balik. Tak nak duduk hospital. Ibu menangis sebab sakit. Time baringkan Ibu di katil, nampak kaki Ibu lain dari biasa (dah tunjuk tanda). Berderau darah. Bergilir juga dengan Adik Kedua dan Ketiga masuk ke bahagian kecemasan. Bila warded di hospital time PKP, waris tak boleh tunggu, memang kena call Doktor ajalah untuk tahu keadaan Ibu dari masa ke semasa. 

Hari Rabu, balik Nilai semula sebab bos baru nak masuk office. Kita bukan balik suka-suka. Tuntutan kerja. Update dari Doktor Ibu diletakkan di Unit Pemantauan Rapi. Doktor masih mencari punca sebenar Ibu sakit perut. Dah bagi macam-macam Ubat, dah masuk kamera, tetap tak jumpa punca. Sakit Ibu tetap tak surut. 

 

19 Jun 2021
Try VC ibu dengan adik-beradik. Our last VC dengan ibu rupanya haritu.  Ibu minta nurse call adik untuk hantar bubur sebab lapar. Alhamdulillah Doktor minta adik naik untuk suapkan bubur. Sambil suap bubur, itu yang kami VC.

Terubat rindu kami setelah 4 hari tak tengok Ibu. Adik juga kata dia tukar pampers Ibu dua kali tadi sebab Ibu buang air besar dua kali. Tergerak hati lagi tanya warna najis Ibu. Sedih hati sebab itu bagaikan tanda kedua. Since Doktor pun maklum Ibu ok, sedapkan hati, Insha Allah semua akan ok. Cubalah positif. Waktu Video call kami adik beradik, Ibu cakap dua kali, Ibu nak balik Kaklong. Kami tak faham maksud ‘balik’ Ibu. Puju Ibu sambil kata, ibu sakit sakit, kena rawat  di hospital dulu. 

 

Lepas Zuhur, Adik call maklum Doktor nak bercakap. Doktor minta persetujuan keluarga, if any emergency, setuju ke nak intubate Ibu. Lepas dah minta pandangan cousin yang kerja nurse, kami setuju tak nak intubate Ibu if anything happens, nak bawa balik rumah je. 

Pesan juga kat Adik, ajar ibu mengucap dan if ada masa baca yasin.  Pukul 3, Adik call lagi. Bila dengar suara dia menangis, dah dapat agak dah. Dia cakap nak bawa ibu balik sebab suddenly semua drop. No respon dari Ibu dan Doktor pakaikan Ibu oksigen.

Terus call makcik minta tolong readykan rumah, call adik-adik suruh bersedia dan kita pun get ready untuk balik. Time ni cari borang rentas negeri pun tak jumpa, terpaksa minta jiran printkan. Serba tak kena jadiknya.

Dalam perjalan pulang, pukul 4.57 makcik call cakap nak cabut oksigen. Minta tolong makcik, cuba hold dulu tapi pihak hospital tak boleh tunggu. Try fikir positif sebab waktu Abah dulu, lepas cabut oksigen, 2-3 hari juga Abah bertahan. So, bagi keizinan berpandukan pengalaman dengan Abah dulu.

Malangnya, keadaan Ibu tak seperti Abah. Lepas cabut oksigen, Ibu semakin tenat. Cousin try buat VC tapi time tu lalu tempat kurang coverage, talian video putus-putus.  Tepat jam 5.28 petang ibu pergi, tak tunggu pun I dan adik Kedua sampai. Ikutkan dalam 10 minit je lagi nak sampai rumah.  Menangis call adik kedua. Sesama menangis mengenangkan Ibu yang dah tiada. 

Sampai rumah, tengok Ibu dah terbaring kaku. Hati sedih tapi kena redha melepaskan. Malam tu malam akhir kami dengan Ibu di dunia. Bergilir mengaji hingga ke pagi.

Allahu akhbar.
Cepatnya semua berlaku. Sedangkan pagi tu Ibu nampak ok. 

 

Innalillahiwainnailaihirajiun.
Noreni bte Salim 22 Ogos
1958 - 19 Jun 2021

Damailah Ibu di negeri abadi

Salam semua,

Allahu akhbar! Rasa cepat betul semuanya berlaku.

Masih terngiang lagi kata Ibu, "Kaklong, Ibu nak 'balik' rumah tengahari semalam. Dua kali Ibu ulang ayat tu. Rupanya Ibu nak 'balik' bertemu Penciptanya.

Innalillahiwainnailahirojiun. Tenanglah Ibu di sana. Habis sudah segala sakit Ibu di dunia. Kubur Ibu juga dekat dengan Arwah Abah (belakang tu). Damailah Ibu bersama Abah. Ain tahu, Ibu tak boleh Abah takda, sebab itu Ibu menyusul Abah.

Seperti arwah Abah dan arwan emak, Ain bantu juga untuk menyediakan segala keperluan pengebumian Ibu. Sedihnya bu. Dulu, Ibu yang suruh beli itu ini. Sekarang kena  buat sendiri.

Kami adik-beradik juga berpeluang memandikan dan mengkapankan Ibu. 
Jujurnya tak sekuat seperti masa Abah pergi dulu. Mungkin dulu perlu kuat sebab Ibu. Tapi bila Ibu yang pergi, time kapankan Ibu, teresak-esak juga menangis macam budak.

Sedihnya rasa, bahu tempat mmeluah rasa dan tiada, pergi selamanya.


Pemergian Ibu di kala PKP3.0 ini, banyak SOP yang perlu dipatuhi. Alhamdulillah, sebagaimana Allah jemput Ibu dengan lembut dan tenang walaupun Ain dan Ikin tak sempat jumpa Ibu, Allah swt juga mudahkan segala urusan pengbumian Ibu. Cuaca pun elok walaupun pagi itu kelihatan mendung. Selesai pengebumian, hujan renyai turun apabila kami dah sampai ke rumah.

Tenang dan damailah Ibuku, Noreni binti Salim. Kami redha akan pemergianmu. Kami menjadi saksi segala kebaikan Ibu di atas dunia ini.

Ya Allah, ampunilah Ibu, rahmatilah, sejahterakan dan permudahkan segala urusan Ibu di sana. Kurniakanlah Ibu syurgamu tanpa hisab.

Noreni binti Salim
22 Ogos 1958 - 19 Jun 2021



Rabu, 19 Mei 2021

Ibu positif Covid19

Salam semua, 

Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin. 7 Syawal dah kita beraya dalam PKP.  
Anak-anak pun dah mula PdPR sejak Isnin lepas. 
Mak kau hijau aja ni sebab bila turn bapak jaga, depa tak nak buat, tang omak selambak nak kena kejar homework.

Kes covid hari-hari makin bertambah aja. Kalau turun pun sekejap, lepas tu mencanak balik naiknya. Dengan Palestinnya kena serang, dengan covid lagi, mendung aja dua tiga hari ni. Bumi pun seakan turut bermuram durja dengan keadaan sekarang.

Moga semua ini cepat berakhir dan kita semua dapat kembali hidup seperti dulu bebas nak balik kampug, bebas nak ke sana sini. Aminn Ya Allah, amin  Ya mujib.

Since kes covid makin naik ni, nak share juga pengalaman kami bila Ibu disahkan positif covid =(  Dalam punya berjaga, Allah nak uji, ada juga ahli keluarga yang mendapat jangkitan virus ni.

End of February haritu, ada balik sekejap sebab Ibu ada prosedur di Hospital Ampang, kita ambil peluang la balik jumpa Ibu. Early March prosedur di Hospital Ampang,  5 haribulan Ibu keluar hospital dan start daripada itu Ibu batuk.

Dalam seminggu Ibu batuk, dua tiga kali pergi klinik, doktor bagi ubat,  makan ubat, batuk tetap tak berkurang. Kami pun lupa, salah satu simptom covid ialah batuk.  Serius semua tak ingat.  Call hari-hari pun  bila borak, suggest macam-macam suruh ibu makan untuk kurangkan batuk. 

17 haribulan Mac, Ibu demam teruk. Badan menggigil. Adik bawa ke bahagian kecemasan Klinik Kesihatan, since Ibu pesakit kanser, depa tolak ke hospital. Prosedur hospital sebelum admit kena swab, then result keluar semua speechless. Dalam tempoh 10 hari itu rupanya virus covid dah menyerang.

Dah macam-macam berita lagi hebat dari ni dah pernah diterima, so rasa terkejut tu macam percaya tak percaya je lah. Sedih juga, Allah bagi ujian lagi. Ibu pula insan yang terpilih, tapi kena hadap jugalah. 

Ikutkan minggu tu juga I nak mohon rentas negeri nak jumpa Ibu. Dah Ibu positif, adik dua orang lak kontak rapat kena kuarantin, terus cancel balik kampung.

Sepanjang adik  dan makcik (kontak rapat sebab hari-hari datang jumpa Ibu) kuarantin di rumah, memang polis datang aje pantau. Bantuan beras gula juga diterima dari JKK Kampung. YB pun bagi duit sagu hati.

I takda sorok-sorok pun Ibu kena covid.  Memang inform kat Whats App status keadaan Ibu dan minta maaf siap-siap. Mohon juga pada ada yang berjumpa Ibu, pantau keadaan diri. Memang tak terjangka akan terjadi macam ni sebab Ibu golongan berisiko, memang kami jaga tak bagi ke mana. Keluar pun setakat ke kubur Abah dan temujanji hospital. Dalam berjaga-jaga, mendapat juga.

Alhamdulillah, dua adik I dan makcik, lepas dua kali swab, result negatif. 

Dalam situasi macam ni, kita tak perlu kalut. Tenang-tenang aja sambil pantau keadaan.
Yang penting selalu lah scan mysejahtera walau di mana berada sebab if jadi macam ni, senang kita nak trace record keberadaan kita. Seboleh-bolehnya elakkan lah tulis-tulis  ni bila check in di mana-mana sebab nak trace record payah.

Dah semak keberadaan kita, check pula sama ada kita kontak rapat ke tidak. If kontak rapat, nak mudah pi swab, then kuarantin. KKM pun semak senarai kontak pesakit covid. If tersenarai, KKM akan panggil swab.

Bila confirm Ibu positif, petang tu KKM datang untuk sanitasi seluruh kawasan rumah dan kereta.

Minggu pertama di hospital, Ibu guna alat bantuan pernafasan. Oksigen dalam badan Ibu pun kurang. 
Bila call, kadang tu ibu suruh letak aja sebab dia tak mampu nak bercakap. Risau kita kat rumah ni Tuhan aje yang tahu.

Ada satu hari tu Doktor buat Whats App call dengan kami adik beradik minta persetujuan if anything happen, pihak hospital akan ambil prosedur yang sepatutnya. Kami setuju ajelah. Kita pun memang tak boleh jumpa Ibu, apa lagi yang kami boleh buat melainkan setuju.

Dengan keadaan penyakit Ibu, doktor memang tak bagi Ibu turun dari katil. Takut terjatuh. Terbaring ajelah Ibu. Nurse akan bantu lap badan ibu atau tukar pampers.

Sepanjang di wad, kami tidak boleh hantar makanan. Ada juga cuba penuhi hajat Ibu yang nak makan bihun sup dengan milo ais time tu, beriya cari kawan yang kerja hospital, tapi bila sampai ke wad, memang tak boleh bagi. Hanya sekali sahaja dapat hantar pakaian dalam, telekung dan selipar. Semua tu tak boleh bawa balik, kena tinggal di hospital bila keluar.

Minggu kedua, dah boleh hela nafas lega sebab bila call Ibu, dah boleh dengar suaranya semakin ok. Ibu sendiri pun dah tak sabar nak keluar sebab bosan terlantar di katil sahaja.

Alhamdulillah, selepas 15 hari kuarantin, Ibu dibenarkan pulang. 
Ya Allah, dia punya lega tu, Allah saja yang tahu. Syukurnya Ya Allah.


Covid is real guys. 
Sentiasa jaga diri dan keluarga, patuh SOP. Alert juga dengan simpton jangkitan covid supaya senang nak pantau lebih awal.
Please, jaga diri, jaga kesihatan!
Kita ni, selagi tak kena pada kita atau ahli keluarga, memang kita buat tak tahu je. 

“Dengan nama Allah yang tidak memberi mudharat akan sesuatu yang di bumi dan yang dilangit (selagi) bersama dengan Nama-Nya dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” 
 (Hadith Riwayat Abu Daud, Tirmidzi) 

 “Ya Allah aku berlindung denganMu daripada penyakit sopak, penyakit gila, penyakit kusta dan daripada segala penyakit berbahaya yang lain.” 
 (Hadith Riwayat Abu Daud)


Ahad, 28 Februari 2021

Rentas negeri jumpa Ibu

Salam semua, 

Alhamdulillah, masih ada hati nak menulis blog =)
Fikir-fikir balik, blog bukan trend masa sekarang, so dah tak ramai orang baca blog. Orang pun dah makin malas membaca =p maka sesuailah untuk meluah rasa di sini. Takda siapa peduli dah apa kita nak tulis.

Khamis lepas cakap ke Azreen, nak try buat permohonan rentas negeri balik Melaka. Rasa tak best je. Iyalah, since Ibu dah tambah dos kimo paling kuat ni, last week, tak berdaya jadinya untuk bangun. Selera makan pun makin kurang. Rasa risau, macam-macam rasa tak best ada. So, nak hilangkan rasa tak  best tu dengan balik kampung.

Walaupun balik kampung nanti, Ibu masih di hospital, takpalah, janji kita jejak rumah Ibu. 
 

Nak balik tu, benda nombor satu yang kau kena setelkan ialah di sini. Haha.
Time Abah meninggal dulu, ada kenangan pahit kat sini, tapi kita hadap ajelah lagi sekali janji dapat jumpa yang tersayang.

Pun, kali ini, kena juga. Polis bising kenapa nak balik ramai-ramai. Takdalah ramai mana, 5 orang. Emak, bapak, anak tiga orang. Takkanlah nak tinggal anak bawa umur kat rumah. Explainlah semuanya satu persatu. Apa polis cakap kita iyakan ajalah. Dia buat kerja dia kan. Kita pun cuba nasib kita. Kot ada rezeki, dapatlah. Kalau kata polis tak lepas, balik ajelah semula ke rumah.

Alhamdulillah, rezeki kami. Mulanya Azreen suruh I balik dengan anak-anak je, tapi pagi tu dia tukar fikiran. Nak ikut juga. 

Ada tiga roadblock yang perlu ditempuh nak sampai ke rumah Ibu. Alhamdulillah, takda kena tahan polis time pergi dan balik. 

Petang tu lepas rawatan di Hospital Melaka, Ibu balik rumah sekejap. Esoknya pagi-pagi nak kena hantar ke Hospital Ampang untuk next prosedur pula.

Nak maghrib tu dia tanya, takda buat sup ketam ke?
Alahaii Ibu, dah maghrib-maghrib ni manalah nak mencari ketam.
Cuba juga cari kat pasaraya berdekatan, memang takda.

Malam tu, macam-macam yang kami borak berempat sambil selit-selit jugalah minta Ibu tenang, tak fikir banyak untuk prosedur di Ampang.
Keletah anak-anak I yang macam-macam ragam dan riuh-rendah tu juga, harapnya dapatlah hiburkan hati Ibu dah hilangkan segala gundah yang sedang bersarang untuk seketika.

Pagi tu pula I cuba  masakkan nasi lemak untuk Ibu sebelum ke hospital.
Kot la ada selera makan bila I yang masak. =p
Sama juga, sesuap dua dah tak mampu nak telan dah.
Sedih tau tengok keadaan ibu macam tu.
Macam-macam rasa ada, yang pasti perasaan takut paling banyak bila memikirkan segala kemungkinan mendatang ketika Ibu sakit ni.


Sebelum ke Ampang, kita ziarah pusara Abah. Dah nak puasa. Nanti entah bila dapat balik lagi. Harapnya raya boleh lah rentas negeri.

Kesempatan yang ada, ajak Azreen tolong top up tanah untuk kepuk kubur Abah. Nasiblah awak ikut balik. Kalau tak siapa nak lead baca Yasin dan tolong I top up tanah. Terima kasih B.

Musim panas sekarang, rumput sekeliling habis kering.

Al-Fatihah.
Doakan Ibu ya Abah. Dipermudakah segala urusannya kat Ampang, dan kembali sembuh dari sakitnya.
Kami dah takda Abah. Kami harap sangat Ibu akan sembuh. 


Ibu dah selamat kat Ampang dah. Kalau reading darah cantik, dapatlah buat prosedur yang tertangguh tu. If tak, kena dapatkan appointment baru lagi.

Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (Ya Allah)! 
Maha Suci Engkau!  (Al-Anbiya’:87)

On the way balik ke Nilai, Ibu minta singgah ziarah kakak Abah. Gugur juga air mata bila makcik tanya, Apa rasa tak ada Abah long?

Air mata ajalah yang laju turun. Tak terjawab soalan tu.
Payah nak explain.
Yang pasti, semua terasa lain.
Lagi-lagi nak puasa dan raya ni, 
Allahu akhbar, Allah saja yang tahu perasaan kami.
Orang yang selalu dikejarkan untuk balik kampung, kini tinggal hanya seorang je =,(

Makcik masih sedih mengenangkan pemergian Abah. Mereka berdua rapat. Susah senang bersama. Kehilangan Abah memang beri tamparan besar ke Dia. Tabah la Ma. Kami juga sedang berusaha hilangkan kesedihan dan tabahkan hati.

Alhamdulillah, almost Maghrib, sampai ke Nilai. Terima kasih Allah, untuk segala peluang dan ruang. Terima kasih juga untuk rezeki dan masa yang diberi untuk bersama Ibu walaupun sekejap.

Alhamdulillah.


 

Selasa, 28 Julai 2020

Multiple Myeloma


Salam semua,

Julai memang sangat dinanti sebab ianya bulan cinta kami. Elok Jun melabuh tirai, berita diterima dari Makcik, Ibu perlu dikejarkan ke hospital kerana hasil X-ray tidak memuaskan dan kandungan sel plasma darah  juga menurun.

Kalut sekejap kami adik beradik sebab hujung minggu baru aja pulang ke kampung. Nasib ada adik yang diberhentikan kerja due to PKP, dialah harapan uruskan semuanya di kala itu. Ada hikmah untuk setiap apa yang dijadikanNya.


Warded during PKP satu hal juga, tak boleh melawat dan tunggu Ibu di wad since Hospital Melaka adalah hospital rawatan pesakit covid. Berhubung through telefon ajalah. Kadang telefon terus ke wad untuk dapat maklumat.


Waktu Doktor panggil terang segala kondisi Ibu, memang doa banyak-banyak, harap bukan seperti jangkaan Doktor. Siapalah kita nak menidakkan rencana Dia, apa yang ditakuti, itulah yang Dia beri. Ibu nampak tenang saat sama-sama menerima berita tetapi tidak Abah. Dia paling beremosi, ditambah lagi cinta hati tidak ada di depan mata.

Doktor benarkan Ibu pulang dengan beberapa temujanji yang perlu dihadiri dan sesi kimoterapi. Senang hati kami ibu dah di depan mata. Walaupun keadaanya dah tak cergas seperti dulu, yang penting ratu hati kami dekat di sisi.

Begitulah serba sedikit yang dapat dicoretkan tentang keadaan Ibu. Multiple myleoma fighter 💪🏻 Semua penyakit ada ubatnya, dengan izinNya dan kuasaNya kami yakin Ibu akan sembuh 😊



Kadang apa yang kita kongsi, bukanlah untuk menagih simpati. Ia hanya sekadar coretan catatan peribadi untuk rujukan di masa mendatang. Meluah rasa juga membantu mengurangkan gundah gulana.

Dalam berkongsi dugaan, ada juga yang ‘sekapal’ bagi tips dan nasihat berdasarkan pengalaman. Berkongsi cara handle situasi dan rawatan alternatif yang boleh dicuba. Terima kasih! Suntikan motivasi dan semangat kalian buat kami rasa kami tak keseorangan. Tetap bersyukur dengan ujian ini. Kalau kita rasa ujian ini berat, ada lagi orang lain yang lagi hebat dugaanNya.

Ada juga ustaz ustazah berkongsi doa dan ayat sebagi amalan dan suntikan kekuatan dalaman. Syukran! Alhamdulillah, ini yang kami perlukan agar tidak putus harapan dan terus redha dengan hadiahNya.

Yang penting, setiap perkara jadikan iktibar dalam meniti kehidupan di dunia. Jangan berburuk sangka sebab tanpa sedar, hati kita juga sedang diujiNya.


Terus kuat Ibu. Kami yakin semangat Ibu kuat dan akan kembali sembuh dah sihat seperti Abah yang dalam setahun ini terlalu banyak perkembangan positifnya. Doa Abah dan Ibu juga amat kami perlukan supaya kami terus sihat dan kuat untuk sama-sama menempuh ujian ini.

Terima kasih juga pada semua, yang tak putus-putus memberi semangat dan bantuan, menziarah, bertanya khabar dan pelbagai lagi kebaikan kalian yang tak mampu kami balas. Insha Allah, dipermudahkan segala urusan kalian semua di dunia dan akhirat hendaknya. Amin.

Tak lupa juga untuk semua rakan yang sedang diuji; kehilangan suami, suami terlantar di ICU, adik diserang kanser tahap empat dan dibuang kerja, ibu bapa adik dan mertua terlantar sakit, diuji dengan masalah kesihatan dan lain-lain lagi, moga terus kuat dan sabar atas ujianNya. Allah sayang kita semua, Allah maha kuasa, Allah tahu apa yang terbaik buat ummatNya 💕

~Tarik nafas dalam-dalam, mata tengok siling~
#Allahua’lam #alliswell #positivevibe #ohjuly #almostamonth #tulisanpanjangorangtakbaca