Rabu, 23 Julai 2014

Lapan cara untuk bantu Gaza.

15 hari telah berlalu sejak serangan rejim pengganas Zionis di Gaza yang bermula pada awal Ramadhan. Jumlah syuhada di Gaza makin bertambah. Hospital tidak lagi mampu menampung bilangan mereka yang tercedera. Bilangan wanita dan kanak-kanak yang dibunuh juga makin meningkat. Ibu-ibu kehilangan anak kecil, anak kecil kehilangan ibu, kehilangan ahli keluarga seolah menjadi perkara biasa yang dilaporkan setiap hari.

Kerosakan harta benda, bangunan dan tanah pertanian tidak dapat digambarkan. Setelah bangkit dari serangan sebelumnya yang mengorbankan ribuan nyawa, Gaza berdarah kembali, dan mereka memerlukan bantuan kita lebih dari sebelumnya.

Bagi Muslim, tuntutan untuk membantu saudara-saudara kita di Gaza adalah jauh lebih besar dari tuntutan kemanusiaan, ia adalah manifestasi keimanan dan persaudaraan Islam.

Kita boleh membantu Gaza dengan banyak cara, di bawah ini disenaraikan lapan cara yang efektif bagaimana kita boleh membantu Gaza secara khusus pada saat ini sekaligus membuka jalan untuk membebaskan Palestin dan Masjid Al Aqsa dari cengkaman rejim pengganas Zionis.

1. Memberi sumbangan harta

Tidak dapat dinafikan, sumbangan yang paling utama ketika ini untuk penduduk Gaza adalah sumbangan harta. Mereka amat memerlukannya bagi membangunkan kembali kehidupan selepas peperangan ini berakhir. Sudah tentu dana yang diperlukan adalah untuk tujuan perubatan, pendidikan, makan-minum, pembangunan semula bangunan-bangunan yang dimusnahkan, pembelaan anak-anak yatim dan macam-macam lagi. Tidak sedikit dana yang diperlukan. Sumbangkanlah sedikit jika tidak mampu banyak, Insya-Allah harta kita akan lebih subur walaupun syaitan cuba membisikkan kemiskinan. Itu adalah janji Allah.

Sumbangan kewangan ini boleh disalurkan melalui banyak NGO-NGO di Malaysia yang amat aktif berperanan dalam membantu masyarakat di Gaza seperti Aman Palestin. Kecilkanlah sedikit perbelanjaan kita dalam tempoh beberapa bulan ini untuk membantu masyarakat Gaza yang teruk dijarah oleh rejim pengganas Zionis.


2. Berdoa

Doa adalah senjata mu’min yang paling efektif, terutamanya dalam waktu-waktu krisis. Antara doa yang diamalkan oleh Rasulullah adalah doa Qunut Nazilah. Doa mesti diteruskan agar rejim pengganas Zionis hancur sehancur-hancurnya dan tanah Palestin yang terjajah sejak tahun 1948 dapat dikembalikan semula. Jangan lupa doakan kemenangan umat Islam setiap kali selepas solat fardhu dan juga pada kesempatan-kesempatan lain.



3. Boikot produk syarikat yang menyokong zionis

Boikot adalah satu mekanisme efektif yang telah berjaya di banyak negara dalam memberi tekanan kepada Israel. BDS movement, sebuah gerakan anti apartheid yang berusaha keras untuk memboikot rejim pengganas Zionis melaporkan bahawa nilai eksport Israel berkurang dengan signifikan kesan daripada boikot. Senarai barang-barang yang diboikot boleh didapati dari laman web yang boleh dipercayai seperti Friend of Al Aqsa dan laman web BDS movement itu sendiri.


4. Memperbaiki kualiti ibadah

Seorang jeneral tentera Israel bernama Moshe Dayan pernah menyatakan bahawa dia hanya akan gentar bila umat Islam mampu untuk solat Subuh berjemaah di masjid sepertimana solat Jumaat. Ini adalah petunjuk bahawa Israel memahami hakikat agama ini, iaitu mereka hanya akan ditumpaskan oleh kelompok Muslim yang berkualiti. Jika kita benar-benar ingin menjadi golongan ‘amrullah’ yang tidak akan sesat sepanjang zaman seperti mana yang disebut oleh nabi dalam hadis, maka kita mesti memulakannya dengan memperbaiki diri sendiri.

Kita mesti memperbaiki kualiti ibadah, diulang MESTI, terutamanya ibadah wajib. Ilmu adalah asas penting. Sebagai contoh, solat fardhu mesti dilaksanakan bukan sahaja dengan ilmu yang sahih, tapi dengan perlaksanaan yang bersungguh, iaitu berjemaah dan pada awal waktu.

Ibadah sunat juga mesti dipertingkatkan. Biasakan diri kita dengan zikir-zikir dan bacaan Al Quran. Cubalah untuk melaksanakan solat sunat qabliah dan ba’diah, terutamanya sunat qabliah subuh. Solat tahajjud dan witir tentunya termasuk dalam senarai sasaran yang mesti kita capai, apatah lagi dalam waktu-waktu akhir di bulan Ramadhan ini.


5. Lebih cakna tentang isu Palestin

Untuk memahami isu ini dengan lebih baik, tidak cukup sekadar kita beremosi pada waktu krisis berlaku. Namun, kesedaran bermusim ini lebih baik ada dari tiada. Kesedaran ini mesti diisi dengan maklumat yang sahih. Kita mesti mengetahui sejarah penjajahan Palestin, terutamanya sejak tahun 1948. Isu Palestin bukan sekadar isu serangan di Gaza dan rampasan rumah di Tebing Barat, tapi ia berkait rapat dengan penghapusan etnik secara sistematik, pembunuhan besar-besaran di kem-kem pelarian yang telah berlaku dan mungkin akan berlaku lagi, hak untuk kembali ke tanah asal yang masih dinafikan dan tentunya pembebasan Masjid Al Aqsa yang kini dikuasai oleh Zionis.

Bacalah buku-buku yang membicarakan perkara ini secara ilmiah. Laburkan sedikit wang dan luangkan sedikit masa untuk memahami. Hadirkanlah diri ke program-program anjuran Aman Palestin yang memberi maklumat tentang Palestin. Insya-Allah, selepas memahami, kita akan mengetahui akan urgensi dan hakikat sebenar isu ini sepanjang sejarah kenabian dan umat Islam.


6. Melakukan kempen kesedaran Palestin di kalangan rakan-rakan

Kesedaran tentang isu Palestin mesti dipromosikan seluas-luasnya. Gunakanlah apa sahaja medium komunikasi yang ada untuk menyedarkan masyarakat tentang kepentingan isu ini kepada umat Islam. Manfaatkanlah laman media sosial seperti Blog, Facebook dan Twitter. Bagi mereka yang berkemahiran menghasilkan video, gunakanlah kemahiran tersebut dan sebarkanlah seluas-luasnya melalui YouTube atau apa jua medium yang ada.

Sebarkanlah maklumat tentang keganasan Zionis, pembunuhan kanak-kanak, sifat pengecut dan tipu daya mereka. Sebarkan juga tentang semangat luar dan ketaqwaan ahli Gaza yang luar biasa. Banyak perkara yang umat Islam di negara lain boleh pelajari dari krisis Palestin yang sedang berlaku ini.


7. Didik anak-anak dengan semangat pembebasan Al-Aqsa

Isu Palestin juga mesti diterapkan dalam diri anak-anak. Bagi mereka yang telah berkeluarga dan mempunyai anak-anak, letakkanlah agenda cakna Palestin sebagai salah satu agenda utama dalam keluarga. Banyak aktiviti yang boleh dilakukan bersama. Antaranya adalah dengan menonton video tentang Palestin, bercerita kepada anak-anak sebelum tidur, mengajak anak-anak untuk melukis poster, buat pertandingan bercerita tentang Palestin di kalangan anak-anak rakan dan jiran, bernasyid dan macam-macam lagi.

Anak-anak mesti dididik dengan semangat juang dan keyakinan bahawa mereka adalah pewaris perjuangan untuk membebaskan Al Aqsa.


8. Boikot cara hidup zionis

Akhir sekali, cara hidup tajaan rejim pengganas Zionis untuk melalaikan umat Islam seperti berhibur secara berlebihan, membuang masa dengan aktiviti lagha seperti menonton ‘movie’, membazir dengan kemewahan melampau dan terlibat dalam pergaulan bebas tanpa batas mesti diboikot. Jika kita benar-benar serius untuk membebaskan Al Aqsa, maka kita mesti merancang dan meletakkan agenda hidup untuk memboikot cara hidup zionis dan mengamalkan cara hidup Islam secara total.

Tinggalkanlah konsert-konsert, lagu-lagu dan hiburan yang melalaikan. Tinggalkan juga isme-isme sesat seperti liberalisme dan sekularisme dalam beragama. Bina diri dengan semangat perjuangan dan jiwa yang besar, lakukannya perlahan-lahan. Carilah teman-teman yang baik, yang mampu membimbing diri kearah kebaikan. Rajinkan diri untuk ke majlis Ilmu dan hadir berjemaah di masjid.

Kesimpulannya, iltizamkanlah diri dengan Islam. Insyaallah, setiap langkah ke arah kebaikan yang kita buat, maka masa untuk pembebasan Al Aqsa juga akan semakin hampir. Moga kita akan termasuk dalam golongan mereka yang menyaksikan pembebasan masjid ini buat kesekian kalinya.

1 ulasan: